Empat lelaki dipercayai sesat di Gunung Panti, Kota Tinggi, petang Jumaat.

Ketua Zon Kota Tinggi Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mereka pada 6.02 petang semalam.

"Setibanya di lokasi kejadian, pihak bomba menemui kenderaan yang dipercayai kereta mangsa jenis Perodua Kelisa, berdekatan air terjun," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai beberapa anggota polis dan Jabatan Hutan itu semalam dihentikan pada 6.30 pagi tadi dan dijangka bermula semula pada 9 pagi ini, katanya.

Menurut beliau, setakat pukul 10.30 pagi tadi, keempat-empat mereka yang sesat disyaki selamat selepas salah seorang daripada mereka dapat menghubungi bapanya, namun masih belum diketahui lokasi sebenar kesemua mereka.

Sehubungan itu, pihak bomba sedang membuat gerakan lokasi di gunung berkenaan.

Pencarian awal dihentikan pada jam 6.30 pagi tadi sebelum disambung semula pada jam 9 pagi Sabtu. - Foto JBPM